25/09/2008

SALAM LEBARAN 1429H


Get Hari Raya Graphics Here



Selamat bercuti dan sekolah akan dibuka semula pada 5 Oktober 2008.

02/09/2008

Salam 1 Ramadan 1429 Hijrah


Ramadan datang lagi. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan dari Allah S.W.T. Ramadan, bulan yang ditunggu-tunggu dan dirindui oleh setiap individu Muslim kerana di dalamnya terdapat berbagai-bagai keistimewaan dan kelebihan yang telah disediakan oleh Allah S.W.T.

Sebagai seorang Muslim kita semestinya merasa gembira dan bersyukur dengan kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak dan sama-sama bertekad menghayatinya dengan penuh keinsafan dan kesungguhan. Marilah kita sama-sama menyambut kedatangan bulan Ramadan ini dengan penuh rasa kecintaan dan kerinduan. Kita juga perlu membuat persediaan dan persiapan sama ada dari segi jasmani dan rohani supaya Ramadan yang disambut itu benar-benar dapat dihayati segala kelebihan dan keistimewaannya. Sebagai seorang Islam kita sawajarnya merebut dan mendapatkan segala peluang keemasan dan keistimewaannya yang terdapat pada bulan ini yang terdiri daripada tawaran pahala yang berlipat kali ganda serta anugerah Lailatul Qadar dan keampunan dari segala dosa dan kesalahan.

Sabda Rasulullah SAW: "Barang siapa merasa gembira dengan sebab kedatangan bulan Ramadan nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada api neraka". (Hadis Riwayat Ahmad). Begitu juga kedatangan bulan Ramadan amat digeruni dan ditakuti oleh syaitan kerana pada bulan ini Allah tidak membenarkannya menghasut serta menggoda manusia melakukan kejahatan dan maksiat. Pada bulan ini syaitan akan dirantai dan dibelenggu. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W. menjelaskan dalam hadis baginda:
"Daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda apabila telah tiba bulan Ramadhan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta tangan-tangan syaitan dirantai". (Hadis Riwayat Ahmad)

Ramadhan ialah bulan yang sungguh luar biasa keistimewaannya berbanding dengan sebelas bulan yang lain. Apa tidaknya, segala dosa yang dilakukan akan mendapat keampunan dari Allah bagi hamba-Nya yang melakukan ibadah pada bulan tersebut dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas serta dengan penuh pengharapan. Tunggak ibadah pada bulan Ramadan ialah ibadah puasa iaitu menahan diri bukan sahaja daripada makan dan minum bahkan dari segala perkara-perkara maksiat dan yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari dan disertai dengan niat. Apabila seseorang itu telah berjaya menahan dirinya daripada perkara-perkara yang dinyatakan, maka layaklah ia mendapat pahala daripada Allah dengan izin dan kemurahan-Nya.

Dalam konteks ibadah puasa, sifat sabar merupakan perkara asas dalam kehidupan kita seharian terutamanya sabar dalam mengahadapi segala macam ujian hidup. Sifat sabar ini dapat dan mampu menjadikan kita seorang Muslim yang tabah dan mempunyai jati diri dalam mengahadapi ujian dan ranjau kehidupan. Sifat sabar perlu wujud dalam diri kita untuk menyempurnakan ibadah puasa kepada Allah dengan sebaik yang mungkin. Kita hendaklah laksanakan ibadah puasa ini dengan penuh keinsafan dengan meninggalkan semua perkara yang boleh merosakkan pahala puasa kita. Elakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang melalaikan serta boleh mengurangkan pahala puasa. Jangan jadikan puasa kita sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga sahaja.

Demikianlah sebahagian daripada kelebihan ibadah puasa dan keistimewaan bulan Ramadan al-Mubarak. Oleh itu, marilah kita merebut peluang yang sangat berharga ini dengan beribadah yang disertai dengan rasa kesyukuran dan kegembiraan, ikhlas dan yakin terhadap kurniaan Allah yang tidak ternilai banyaknya. Sesungguhnya keistimewaan dan kelebihan berpuasa dalam bulan Ramadan tidak akan kita nikmati jika tidak dilakukan dengan sempurna dan ikhlas. Di samping itu kita juga dituntut melakukan amalan kebajikan yang lain seperti bersedekah, berzikir, bertadarus, berzakat dan sebagainya. Dalam masa yang sama hedaklah dielakkan daripada membuat persediaan untuk berbuka puasa dan menyambut hari raya secara berlebihan.

Marilah kita menyiapkan diri dari segi rohani dan jasmani dengan melaksanakan perkara-perkara berikut:
1. Banyakkan membaca Al-Quran dan memahami maksudnya.
2. Mengerjakan sembahyang fardhu dan bertarawih secara berjamaah di masjid atau di surau.
3.Bersedekah dan mengadakan jamuan berbuka puasa khususnya kepada sahabat, jiran tetangga dan fakir miskin.
4. Beriktikaf di dalam masjid dan bertadarus.
5. Mengelakkan diri dari berbual-bual kosong dengan mengisi masa dengan kerja-kerja berfaedah seperti mendalami pengetahuan mengenai fardhu ain dan fardhu kifayah.
6. Sentiasa menjaga tutur kata, tidak hasad dengki dan gerak geri supaya tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.
7. Tidak membiarkan diri kita berlarutan dalam perkara-perkara yang sia-sia termasuklah tingkah laku dan perbuatan yang tidak berfaedah.
8. Hati kita hendaklah sentiasa ingat kepada Allah s.w.t.

Di samping kita mengerjakan ibadah puasa dengan cara yang paling sempurna dan mengisi masa sebulan Ramadan dengan amalan tersebut, kita juga hedaklah berazam untuk meneruskannya pada bulan-bulan yang berikutnya sehinggalah kita dipertemukan lagi dengan bulan Ramadhan tahun yang akan datang, INSYA-ALLAH.

Sumber: JAKIM